SHAH ALAM – Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf mengukuhkan namanya sebagai antara gergasi percetakan Malaysia apabila menawarkan perkhidmatan percetakan digital ‘print on demand’ pertama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Karangkraf, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, perkhidmatan ini antara perkhidmatan digital tercanggih dan akan memudahkan penerbit untuk mencetak buku dalam kuantiti yang dimahukan.

Menurutnya, pihak Karangkraf melaburkan kira-kira RM10 juta untuk mewujudkan perkhidmatan percetakan digital yang turut melibatkan sebuah pencetak teknologi terkini Kodak Prosper 1000 Press.

“Sebelum ini penerbit menghadapi masalah kerana terpaksa mencetak buku dalam kuantiti yang banyak sehingga berlaku lambakan buku sekiranya tidak terjual.

“Namun dengan adanya teknologi ini,mereka boleh mencetak dalam kuantiti yang sedikit dengan kos yang efektif dan murah,” katanya selepas majlis Perasmian Pencetak Digital Kodak Prosper 1000 Press di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Kata Syamil, perkhidmatan ‘print on demand’ ini adalah satu kelebihan yang ditawarkan oleh Ultimate Print berbanding syarikat cetakan lain.

“Kami menawarkan perkhidmatan cetakan yang tidak dapat diberikan oleh syarikat percetakan lain di Malaysia iaitu cetakan serendah 10 cetakan berbanding 1,000 hingga 3,000 cetakan minimum di syarikat cetakan lain,” katanya.

Syamil berkata, proses cetakan tersebut juga akan bebas daripada pencemaran berbanding penggunaan pencetakan tradisional.

“Sepanjang 25 tahun dalam industri percetakkan, kami begitu arif tentang kesannya kepada alam sekitar terutama dari segi bahan buangan walaupun dilupuskan dengan cara yang betul,tetapi kesannya tetap ada.

“Dengan teknologi terbaharu ini, setiap bahan mentah yang dimasukkan ke dalam mesin,akan diproses dan tidak akan dikeluarkan menjadi bahan buangan,” jelas beliau.

Menurutnya, dalam masa terdekat, pihaknya akan menambah perkhidmatan ‘print on demand’ dalam versi berwarna berbanding versi hitam putih pada masa sekarang.

Dalam majlis ini, seramai 160 orang peserta terdiri daripada pengusaha percetakan dari seluruh asia tenggara termasuk Filipina, China, Thailand, Indonesia dan Australia dibawa khas oleh Kodak untuk melihat sendiri mesin percetakan dan melawat sekitar kilang percetakan Ultimate Print.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here