ULTIMATE Print Sdn Bhd (Ultimate Print), anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) menerima empat pengiktirafan percetakan digital dari dalam dan luar negara.

Syarikat percetakan itu menerima anugerah dalam Asia Print Awards 2014 menerusi kategori katalog, buku dan risalah, 7th Annual Fuji Xerox PIXI Award 2014 (pemasaran langsung) dan Malaysia Print Awards 2014 (bagi kategori pemasaran kolateral serta ‘digital proofing’).

Pengurus Besar Jabatan Jualannya, Lai Mee Lin berkata, pengiktirafan itu memberi semangat kepada kakitangan syarikat supaya lebih bermotivasi untuk bekerja keras dalam menyediakan kualiti perkhidmatan terbaik.

“Banyak syarikat percetakan gergasi tercalon dalam anugerah tersebut. Kami rasa sangat berbangga kerana menjadi antara syarikat yang terpilih menerima anugerah itu.

“Untuk pengiktirafan daripada Asia Print Awards 2014, kami telah menghantar penyertaan Buku Laporan Tahunan Bank Negara 2013 yang dicetak digital untuk mendapat pengesahan Gabenor Bank Negara, sebelum dicetak secara pukal oleh mesin cetakan ‘offset’,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jaminan Kualitinya, Raja Syuriani Raja Ali berkata, Ultimate Print antara syarikat gagasan media terbesar di Malaysia dan pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada syarikat terus lebih berdaya saing untuk meluaskan pasaran dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, pada masa hadapan, Ultimate Print merancang untuk meningkatkan lagi penguasaan pasaran dalam percetakan digital yang menjurus kepada teknologi baharu menerusi segmen perkhidmatan ‘variable data printing (VDP)’ dan ‘personalized printing’.

“Kita dalam proses untuk mempromosikan percetakan digital kepada sasaran khalayak yang lebih ramai termasuk kakitangan dan pihak luar.

“Sejak perkhidmatan digital diperkenalkan, Ultimate Print menerima permintaan tinggi daripada pelanggan kerana kelebihannya boleh mencetak dalam kuantiti yang sedikit dengan kos yang efektif dan murah,” katanya.

Selain percetakan digital, Raja Syuriani berkata, Ultimate Print juga masih menggunakan percetakan ‘offset’ bagi menampung cetakan dalam kuantiti yang banyak.

Sebelum ini, Karangkraf melabur kira-kira RM10 juta untuk mewujudkan perkhidmatan percetakan digital yang turut melibatkan mesin cetak digital teknologi terkini, Kodak Prosper 1000 Press dan Fujixerox 1400.

eMall Karangkraf terima ‘Anugerah Emas’

Sementara itu, aplikasi eMall Karangkraf menerima ‘Anugerah Emas’ dalam International Exposition on Syariah Compliant Idea, Innovation, Invention & Design (ISCIIID 2014), anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM), kelmarin.

Pengurus Pemasaran Karangkraf Retail, Alwani Fickry berkata, Karangkraf menerima anugerah itu kerana berjaya menghasilkan produk berbentuk inovasi.

“Kebanyakan syarikat penerbitan buku lain masih lagi mengekalkan konsep percetakan, sebaliknya Karangkraf bukan saja diterbitkan dalam bentuk cetakan, tetapi kita juga ada gedung buku online iaitu eMall yang membolehkan peminat buku, novel dan majalah keluaran

Karangkraf memperoleh ketiga-tiga produk itu dalam bentuk digital dan multimedia,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu diharap dapat melonjakkan lagi penggunaan aplikasi tersebut terutama dalam kalangan golongan muda untuk menarik minat mereka membaca menerusi bentuk digital.

Katanya, sejak dilancarkan pada November 2012, aplikasi eMall Karangkraf telah dimuat turun oleh 40,000 orang.

“Kita menyasarkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus orang akan memuat turun aplikasi itu pada tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here