UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berperanan penting membantu Ultimate Print Sdn Bhd dalam usaha menjadi sebuah pusat percetakan al-Quran utama di negara ini.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print Sdn Bhd, Azizi Fickry berkata, pihaknya menerima Dana Mudahcara daripada Teraju berjumlah RM 3.1 juta, sekali gus memastikan anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf itu pelopor dalam industri percetakan al-Quran, selain turut menjadi pilihan negara luar seperti Singapura dan Pakistan.

“Ultimate Print terpilih untuk menerima dana tersebut melalui pelaburan RM21 juta menerusi pembelian mesin percetakan al-Quran. Dengan pelaburan tersebut, sebanyak 15 peratus akan diberikan kembali kepada kita oleh Teraju dalam bentuk tunai.

“Kita menerima dana ini penghujung tahun 2017 dan ia banyak membantu kita dalam meluaskan pemasaran terutama menguar-uarkan mengenai keupayaan kita menjadi pelopor pusat percetakan al-Quran di Malaysia,” katanya.

Azizi berkata, dana tersebut juga digunakan bagi memberikan latihan kepada staf memandangkan mesin yang dibeli memerlukan pengendalian oleh staf terlatih.

“Sebelum ini urusan percetakan banyak dihantar ke Indonesia dan selepas dua tahun, kita beli mesin sendiri dan bawa kembali perniagaan ini masuk ke Malaysia.

“Kita rasa ia perlu memandangkan dari segi kawalan percetakan seperti pelupusan dan sebagainya, ia lebih ketat di negara ini. Maknanya, dari segi sensitiviti kita akan jaga sepenuhnya supaya kes, contohnya seperti ada keratan al-Quran dalam pelapik kaki, tidak berlaku.

“Malah, pelaburan ini juga perlu dalam memastikan kita tidak perlu bergantung untuk mencetak di luar negara sebaliknya boleh mengeksport kepakaran kita dalam bidang percetakan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here