ANAK syarikat Kumpulan Media Karangkraf, Ultimate Print bakal menjadi peneraju mengaplikasikan teknologi hijau dalam bidang percetakan di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (COO), Syamil Fahim Mohd Fahim berkata, bagi melaksanakan teknologi itu, pihaknya akan terlebih dahulu meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan penggunaan tenaga elektrik.

“Ini adalah pengenalan kami di Malaysia dalam industri percetakan mengenai teknik produktiviti yang baharu dan Insya-ALLAH akan diguna pakai oleh Ultimate Print untuk menjadi salah satu (syarikat) yang aplikasi teknologi hijau.

“Kita sudah ada pensijilan ISO 9001:2008 dan beberapa standard lain, ini mungkin standard baharu yang kita akan laksanakan,” katanya selepas mengikuti pembentangan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkenaan teknologi hijau di Auditorium Sultan Muhammad ke-V, di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Menurutnya, bagi mengaplikasikan teknologi hijau dalam industri percetakan, beberapa perkara perlu diambil kira kerana kebergantungan kilang terlalu tinggi kepada penggunaan tenaga elektrik.

“Bagi melaksanakan teknologi hijau, kita perlu lihat operasi melibatkan kos-kos, impak-impak kepada alam, jadi dengan kerjasama yang dijalinkan dengan MPC ini, kita boleh lihat kembali proses awal sehingga proses akhir percetakan sesebuah majalah.

“Kalau kita dapat kenal pasti daripada kos itu, kita boleh mengurangkan lagi supaya dapat tingkatkan produktiviti, akauntabiliti tapi dalam masa yang sama mengurangkan kos yang boleh datangkan kesan tidak elok kepada alam sekitar,” ujarnya.

Terdahulu, Syamil Fahim dan beberapa kakitangan anak syarikat Karangkraf mengikuti penerangan Training of Trainers and Consultants in Green Technology anjuran MPC.

Dalam program itu, Ultimate Print merupakan kajian kes aplikasi teknologi hijau dalam industri percetakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here